Para peserta selepas bengkel bersama Azizi (depan tiga kiri), Idris (depan tepi kanan) dan Jakaria (depan empat kanan).

KOTA KINABALU – Universiti Malaysia Sabah (UMS) menjalankan penyelidikan program pembentukan holistik bagi menangani masalah penggunaan dadah, gam dan bahan terlarang.

Ketua projek merangkap Felo Kanan Fakulti Psikologi dan Pendidikan (FPP) UMS, Prof. Dr. Azizi Yahya berkata, penyelidikan itu menerima geran luar sebanyak RM245,840 daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Sabah.

“Secara amnya, projek penyelidikan ini dijalankan untuk membentuk modul keluarga bahagia dalam kalangan penagih dadah bagi membantu pengawasan dari aspek merancang masa depan, perkembangan diri serta sumbangan kepada keluarga.

“Selain itu, ia turut memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di kawasan berisiko tinggi bahawa penagih dadah dalam pengawasan mampu memberi sumbangan kepada komuniti, selain dapat mengurangkan penyalahgunaan dadah dengan strategi yang dilaksanakan.

“Projek penyelidikan ini diharapkan dapat menjadi satu penyelesaian permasalahan dadah yang harus diperangi secara tegas dan bersepadu agar tidak merebak dan mencapai satu tahap epidemik,” katanya.

Azizi berkata demikian kepada media selepas Bengkel Perkongsian dan Kerjasama Bersama Rakan Strategik berkaitan penyelidikan tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) FPP, Prof. Dr.  Muhammad Idris Bullare @ Bahari dan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS, Dr. Jakaria Dasan.

Dalam pada itu, Idris yang juga penyelaras program yang sama berkata, penganjuran bengkel itu sebagai salah satu sub-program perkongsian dan kerjasama pintar bersama rakan strategik bagi memberi input kepada kumpulan penyelidik.

“Modul yang dihasilkan nanti diharap dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, kestabilan sosio-ekonomi, ketahanan nasional dan pembangunan negara yang berterusan sekali gus merealisasikan matlamat Negara Malaysia Bebas Dadah,” ujar beliau.

Bagi Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr. Kasim Hj Mansor, beliau memaklumkan pemberian geran penyelidikan daripada AADK adalah satu pengiktirafan besar kepada kepakaran para penyelidik UMS.

“Sebagai sebuah gedung ilmu yang menghimpunkan para pemikir intelek dan tenaga akademik profesional, sudah tentu salah satu tujuan kewujudan UMS adalah untuk memasyarakatkan ilmu bagi mengangkat tamadun bangsa dan masyarakat setempat.

“Dalam hal ini, UMS memberi komitmen penuh menjayakan kajian penghasilan modul keluarga bahagia sebagai rujukan dan panduan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah, gam dan bahan terlarang di Sabah.

“Program pemindahan ilmu ini juga menitikberatkan pembinaan kapasiti modal insan bagi memastikan ia sentiasa seiring dengan hala tuju Pelan Strategik Sabah Maju Jaya,” katanya.

Untuk rekod, penyelidikan Program Pembentukan Keluarga Bahagia sebagai pendekatan holistik dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah, gam dan bahan terlarang di Sabah telah dimulakan pada 1 September 2021 dan dijangka siap sepenuhnya pada 1 Mac 2023. -MalaysiaGazette