Mogan menunjukkan tangki fiber yang diubah suai suspek untuk menyeleweng minyak diesel.

BUKIT MERTAJAM – Tindakan seorang warga emas mengubah suai trak pikapnya bagi kegiatan penyelewengan minyak diesel membawa padah bola ditahan di sebuah stesen minyak di Auto City Juru di sini semalam.

Suspek berusia 60-an itu ditahan pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang kira-kira pukul 9 pagi.

Timbalan Pengarah KPDNHEP negeri, A. Mogan berkata, ketika serbuan, suspek telah mengisi 380 liter minyak diesel bernilai RM760 ke dalam pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton miliknya.

“Hasil siasatan mendapati suspek mengubah suai sendiri pacuan empat roda tersebut dengan meletakkan tangki fiber berkapasiti 550 liter di ruangan tempat duduk penumpang belakang dan ruangan barang dengan kos RM2,500.

Tangki isi minyak kenderaan juga diubah suai diletakan berhampiran tangki fiber bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Terdapat dua tangki fiber di dalam kenderaan itu manakala bahagian mengisi minyak juga diubahsuai dan dipasang berdekatan tempat mengisi minyak asalnya untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di stor penyimpanan eksibit KPDNHEP di Bukit Minyak di sini hari ini.

Mengulas lanjut Mogan berkata, suspek menjalankan kegiatan itu dengan modus operandi bergerak dari stesen minyak ke stesen minyak lain kerana terdapat had pembelian.

“Selepas mengisi penuh, dia akan letakkaan kenderaan itu di satu tempat di tepi jalan sebelum diambil orang lain yang dia tidak dikenali.

“Selain itu, suspek mengaku menjalankan kegiatan berkenaan sejak kira-kira dua bulan lalu dan hasil kegiatan dijadikan pendapatan tetap.

“Bagaimanapun, risikan pihak kami mendapati lelaki itu dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut lebih enam bulan,” jelas beliau.

Tambah Mogan, nilai keseluruhan rampasan minyak diesel serta kenderaan suspek berjumlah RM41,060 dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast