Feng Sheng bersama peguamnya di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pagi tadi

JOHOR BAHRU – Seorang ahli perniagaan 68 tahun mengaku tidak bersalah atas 11 pertuduhan kes utama dan 11 pertuduhan pilihan terhadapnya di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memalsukan dokumen Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), tiga tahun lalu.

Tertuduh, Feng Sheng membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan 11 pertuduhan utama, tertuduh didakwa memalsukan borang pengisytiharan barang yang akan dieksport iaitu borang Kastam K2 sedangkan dia tahu borang berkenaan palsu.

Mengikut kertas pertuduhan disebabkan kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Bagi 11 pertuduhan pilihan, dia didakwa mengemukakan borang invois palsu yang dilampirkan bersama dengan borang Kastam K2 palsu untuk melepaskan barang dagangan dibawanya dan didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu antara 9 Ogos 2019 hingga 10 Februari 2020 di Kaunter Pendaftaran Cawangan Eksport, Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar.

Peguam tertuduh, Mohammad Muzammil Mohammad Hairiri meminta mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin kerana menjadi penanggung utama keluarga dan memiliki seramai tiga orang anak.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diberi jaminan sebanyak RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan tarikh 7 November depam untuk sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Negeri Sembilan, Mohammad Azriff Firdaus Mohammad Ali. – MalaysiaGazette