Reaksi Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan memberi penjelasan mengenai dakwaan ada operasi perisikan tentera Mossad di negara ini.

Menurut Presiden PKR itu, kejadian seperti itu pernah berlaku pada 2018 ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Katanya, seorang pelajar Palestin yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Islam Antarabangsa  telah menjadi mangsa apabila dibunuh dengan kejam oleh perisik Mossad.

“Saya tuntut penjelasan dari Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan, mengapa dibiarkan atau dibolehkan operatif tentera yang berpengkalan di Israel iaitu jentera perisikan di Israel Mossad nampak terus berlegar di sekitar negara kita khususnya Kuala Lumpur,” katanya menerusi rakaman yang dimuat naik di Facebook beliau semalam.

Anwar turut menuntut kerajaan memberikan jaminan keselamatan ekoran tentera terbabit masih lagi berlegar di negara ini.

“Saya mahu penjelasan dari menteri, dari Bersatu dari UMNO dan dari parti Islam yang sekarang ini menganggotai Kabinet kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Semalam, Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Nasional Palestin mahu individu-individu yang didapati terlibat dalam cubaan menculik seorang rakyatnya oleh ejen-ejen agensi risikan Israel, Mossad, pada 28 September lalu di sini diheret ke mahkamah dan dihukum.

Menurut kementerian itu, pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya perlakuan jenayah oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyatnya di negara ini.

Katanya, kerajaan Palestin menghargai usaha yang dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk menyelamatkan seorang warga Palestin dari Gaza yang diculik oleh Israel melalui ejen-ejen Mossad. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast