Datuk Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Orang awam yang curiga dengan kehadiran mana-mana individu dari luar negara khususnya melibatkan majlis agama disaran membuat laporan kepada jabatan agama negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pihak berkuasa agama negeri memerlukan kerjasama pelbagai pihak khususnya aduan rasmi sebelum mengambil tindakan lanjut.

“Kalau perlu kita laporkan kepada jabatan agama untuk ambil tindakan. Kalau pejabat agama tahu boleh ambil tindakan di negeri masing-masing.

“Kerjasama kita semua penting, tindakan boleh diambil berdasarkan laporan,” katanya mengulas mengenai Sayyid Muhammad Amin Hamid Alidrisi Alhasani berasal dari Maghribi yang mengaku cicit Nabi Muhamad SAW yang datang ke negara ini baru-baru ini.

Sebelum ini Idris mengesahkan Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) tidak menerima laporan rasmi berhubung individu berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau menasihatkan umat Islam yang ingin belajar agama untuk merujuk kepada guru yang disahkan mempunyai ilmu pengetahuan.

“Sebab itulah kita  kalau nak belajar biarlah dengan guru, cari guru, guru pula yang mursyid, yang beramal dengan ilmu, tengok dengan teliti kita banding dengan ustaz yang ada kuasa bab menghuraikan agama kalau ada pelik tidak boleh ikut,” ujarnya.-MalaysiaGazette