Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah (dua kanan) membuat gimik perasmian Rapid KL Safety Point anjuran Bersama Prasarana dan PDRM di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan buah stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) terpilih sebagai pusat respon asas kecemasan awal menerusi Projek Perintis Rapid KL Safety Point (RSP) bermula hari ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, program berkenaan kesinambungan inisiatif Go To Safety Point diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia sejak tahun 2013 dengan menjadikan stesen-stesen minyak dan kedai serbaneka sebagai rakan kongsi.

Lapan stesen terpilih dalam Rapid KL Safety Point adalah merangkumi stesen MRT Kampung Batu, Stesen LRT dan MRT Pasar Seni, Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang), Stesen LRT KL Sentral, Stesen LRT KLCC dan akhirnya Stesen MRT Bukit Bintang.

“Kesemua lapan stesen ini terpilih sebagai perintis disebabkan kesemua lokasi rel berkenaan menerima kepadatan penumpang atau pengguna yang tinggi setiap hari termasuk pada waktu puncak.

“Sebagai permulaan sebanyak lapan stesen rel kendalian Rapid Rail ini akan terlibat dalam projek rintis ini dengan paparan pelekat khas menandakan stesen berkenaan menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan.

“Mengendalikan jumlah penumpang yang besar merupakan tanggungjawab petugas barisan hadapan Rapid KL bagi memastikan keselesaan mereka senantiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran projek tersebut di Stesen MRT Kampung Batu bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Datuk Yahaya Othman dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Selain pelekat khas tempat mangsa berehat menenangkan diri, rawatan awal kecemasan perubatan, keselamatan mangsa dan khidmat menghubungi polis atau hospital untuk tindakan lanjut akan disediakan.

Tambah Mohd Azharuddin, semua anggota barisan hadapan mempunyai kemahiran mengendalikan situasi dan bersedia memberikan pertolongan kecemasan kepada penumpang yang memerlukan bantuan.

Latihan berkenaan adalah sebahagian daripada silibus asas petugas operasi Rapid KL.

Menurutnya, projek rintis respons kecemasan asas ini akan diperluaskan kemudian secara berfasa ke 147 stesen rel yang berada di bawah kendalian Prasarana.

“Keseluruhannya kita ada 900 pegawai polis bantuan dan di setiap stesen akan ditempatkan tiga hingga lima orang yang terdiri daripada pegawai barisan hadapan yang akan memberikan bantuan kecemasan kepada penumpang kami.

“Apabila laluan Putrajaya dibuka awal tahun hadapan nanti, kami menjangkakan peningkatan mendadak akan berlaku terhadap penumpang yang akan menggunakan khidmat rel ini nanti berbanding 600,000 orang setiap hari yang direkodkan ketika ini.

 

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bercakap kepada media selepas majlis perasmian Rapid KL Safety Point anjuran Bersama Prasarana dan PDRM di Stesen MRT Kampung Batu, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 OKTOBER 2022.

“Justeru kita tidak menetapkan sebarang jangka masa melaksanakan sepenuhnya projek Rapid KL Safety Point ini membabitkan kesemua 147 stesen rel tetapi yang pasti ia akan beroperasi di semua jumlah stesen yang disasarkan nanti,” katanya.

Dalam pada itu Azmi memaklumkan terdapat isu logistik yang perlu diperhalusi dan dilaksanakan terlebih dahulu oleh PDRM dan Prasarana dalam memperluaskan projek rintis itu ke kesemua stesen yang ditetapkan.

Sejak awal Januari hingga Oktober ini, katanya, sebanyak 261 kes jenayah antaranya curi kenderaan dan ragut telah dilaporkan berlaku di kawasan pengangkutan awam di ibu negara.

Katanya, polis menyasarkan lapan hingga 12 peratus kadar jenayah di kawasan pengangkutan awam dikurangkan.

“Kalau ada pengguna kalau ada pengguna berhadapan kesukaran boeh dibawa ke bilik keselamatan yang disediakan untuk bantuan kecemasan dan tindakan lanjut.

“Satu masa nanti kesemua 147 stesen LRT dan MRT akan mempunyai projek Safety Point ini demi menjamin masa depan yang sejahtera dan selesa untuk warga kota.

“Namun masyarakat juga perlu memahami bahawa ini urusan keselamatan adalah tanggungjawab kita bersama dan ia akan membantu kita menangani jenayah di pengangkutan awam dan jika lapan hingga 12 peratus jenayah dikurangkan saya akan gembira nanti,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast