Luqman Long

KUALA LUMPUR – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak kisah kerusi Parlimen yang akan diberikan Pakatan Harapan (PH) kepada parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan MUDA, Luqman Long berkata, MUDA tidak pernah menuntut kepada PH untuk diberikan kerusi yang mudah  menang.

MUDA hanya meminta kepada PH supaya rundingan rasmi agihan kerusi dilakukan dengan segera, jelasnya.

Beliau menegaskan, rundingan perlu dilakukan secepat mungkin kerana PRU15 akan berlangsung tidak lama lagi.

“Kenapa nak kena gesa PH untuk berunding segera? Jawapannya sebab, PRU15 dah sangat dekat. Gerak kerja harus mula segera bersama.

“MUDA nak kerusi mudah? Tidak. Hantar ke Pantai Timur pun okay (saya suka begitu). Cuma, rundingan rasmi kena mula segera lah,” ciap beliau di Twitter.

Luqman menolak dakwaan permintaan yang dibuat oleh MUDA supaya rundingan rasmi dilaksanakan segera sebagai tidak menghormati proses.

Tambahan MUDA telah menerima semua syarat yang dikenakan oleh PH bagi membolehkan parti itu mengadakan kerjasama dalam PRU15.

“Tanya-tanya pilihan raya edisi MUDA-PH. MUDA tak hormat proses rundingan? Kita hormat, sebab itu mohon masuk PH.

“MUDA hadir mesyuarat Jawatankuasa Rundingan PH (untuk menyertai PH), MUDA setuju semua terma dan syarat PH. Cuma kita tanya bila boleh mula rundingan?” tegas beliau.

Timbalan Presiden MUDA, Amira Aisya Abd Aziz hari ini menggesa satu rundingan rasmi bersama Majlis Presiden PH diadakan segera terutama membabitkan pengagihan kerusi.

Amira Aisya berkata, sehingga kini masih belum ada mesyuarat rasmi bersama PH yang ditetapkan walaupun hari pengumuman agihan kerusi gabungan itu kian hampir.

“Ada yang tanya, MUDA akan tanding kerusi mana? Jujur saya sebut di sini, rundingan kerusi secara rasmi bersama PH masih belum bermula.

“Jika bergerak dalam sebuah gabungan, Muda akan pastikan prinsip sandangan sedia ada diguna pakai untuk merunding kerusi. Sudah tentu juga, kerusi perlu diagih secara adil dan saksama,” katanya di Facebook.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan hasrat partinya menyertai PH bulan lalu dengan permohonan rasmi dibuat pada 9 September.

Terdahulu, PH mempertimbangkan membentuk pakatan pilihan raya dengan MUDA, berbanding menerimanya sebagai parti komponen berdepan PRU15.

Pengerusi PH, Anwar Ibrahim berkata, sukar untuk menerima MUDA sebagai parti komponen kelima gabungan itu kerana ia memerlukan kelulusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).-MalaysiaGazette