Kelibat Aidil Sharin (dua dari kiri) di kaunter pendaftaran untuk masuk ke Pejabat Ketua Menteri dan Exco Pulau Pinang. Foto Facebook

KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Aidil Sharin Sahak dikhabarkan akan berhijrah ke Penang FC selepas kontraknya ditamatkan kelab itu pada isnin lalu dalam mengharungi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.

Spekulasi itu timbul selepas sekeping gambar dikongsi di media sosial para penyokong Harimau Kumbang memaparkan kelibat jurulatih kelahiran Singapura berkunjung ke Pejabat Ketua Menteri dan Exco Pulau Pinang.

Kemungkinan Aidil bakal menjadi teraju baharu Penang FC bukan mustahil, apatah lagi kelab Liga Super itu sudah ‘merehatkan’ pengendali, Datuk Zainal Abidin Hassan yang digantikan dengan pengendali sementara, Manzoor Azwira bagi mengharungi baki saingan Liga-M 2022.

Jika situasi itu benar, kehadiran Aidil yang bersama Kedah selama empat musim pasti ditagih pengurusan Penang FC selepas skuad Haria Penang Haria tersebut berdepan prestasi hambar sepanjang musim ini.

Skuad Harimau Kumbang yang bertukar jurulatih sebanyak dua kali musim ini menamatkan saingan di tangga tercorot selepas hanya mengutip dua kemenangan daripada 22 perlawanan.

Untuk rekod, Penang FC dijadual berdepan kelab Liga Premier, Kuching City FC pada perlawanan pertama Pusingan 16 Piala Malaysia yang membuka tirai pada minggu depan.

Sementara itu, posisi Aidil Sharin di Kedah digantikan dengan penolong ketua jurulatih, Victor Andrag yang bakal memegang jawatan sebagai pengendali sementara bagi kempen Piala Malaysia hujung bulan ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast