KUALA LUMPUR – Satu perhimpunan bagi membantah keras insiden penculikan warga Palestin oleh tentera Mossad di negara ini akan diatur dalam masa terdekat.
Bagi tujuan itu, semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa supaya bangkit mengecam zionis Israel dan agensi penjenayah Mossad dengan melancarkan kempen memerangi pihak yang sanggup menjadi tali barut ejen perisikan itu, kata Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid.
Katanya, kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan tegas kepada Mossad bahawa agensi penjenayah itu tidak boleh dibenarkan beroperasi di bumi Malaysia.
“Pimpinan parti politik dan kerajaan perlu mengeluarkan kenyataan mengecam Mossad dan tidak berkompromi sama sekali terhadap agensi itu.
“Suatu nota bantahan perlu dihantar kepada Israel melalui Amerika Syarikat yang menjadi penyokong kuat Israel dan pihak keselamatan Malaysia perlu memantau sebarang operasi menggunakan warga Malaysia sebagai agen Mossad atau mana-mana agen luar yang mengancam keselamatan negara.
“Malaysia juga perlu menghantar surat khas kepada pihak Palestin untuk menjamin keselamatan mana-mana warganya di Malaysia dengan bertindak menyelamatkan mereka yang menjadi sasaran Mossad,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Azmi lagi, operasi Mossad di negara ini yang menggunakan orang tempatan untuk memburu pejuang Palestin Hamas tidak mengejutkan.
Katanya, negara perlu berada pada kewaspadaan tahap tinggi apabila berdepan dengan ancaman operasi Mossad yang boleh menerobos sempadan keselamatan Malaysia.
Tambahnya, insiden asasinasi seorang warga Palestin pada 2018 di Kuala Lumpur sepatutnya dijadikan pengajaran dan pihak keselamatan perlu bertindak mengerakkan agensi perisikan negara membaca operasi Mossad dan memantau situasi dengan terperinci.
“Kami menegaskan pihak lokal yang rela diperguna oleh Mossad perlu disiasat secara menyeluruh kerana penemuan wujudnya golongan penjenayah terlibat dengan operasi Mossad mungkin sudah membina jaringan yang lebih luas.
“Kegiatan espionaj Mossad di seluruh dunia bukan perkara baharu. Mengupah orang tempatan terutama kumpulan gangster lokal dengan bayaran lumayan cukup mudah diguna.
“Kami mendesak pihak kerajaan, ahli politik dan agensi keselamatan melakukan tindakan pantas dan tegas membanteras agensi zionis ini beroperasi di negara ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette