Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dalam nahas di di Kilometer 42 Lebuhraya Kuala Lumpur ke Karak menghala Barat tengah malam tadi.

KUANTAN – Akibat mengubah haluan masuk ke lorong kiri untuk memotong kenderaan lain, seorang pemandu lori kurier maut  dalam nahas di Kilometer 42, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohd. Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu lori berusia 46 tahun itu dikatakan telah melanggar bahagian belakang treler yang berada di lorong kiri tersebut dalam kejadian pukul 12. 50 tengah malam tadi.

“Lori dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan membawa muatan barang-barang kurier dan treler dipandu oleh seorang lelaki warganegara tempatan berusia 30 tahun membawa muatan biji sawit sebanyak 50 tan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Zaiham, hasil siasatan mendapati lori yang dipandu mangsa dari arah Bentong menghala ke Kuala Lumpur.

Akibat kemalangan tersebut, pemandu lori mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mohd. Zaiham berkata kes masih dalam siasatan lanjut di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette