Seorang lelaki maut selepas kenderaannya jenis Honda City terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan di Jalan Kuching selepas bulatan Jalan Ipoh, Kuala Lumpur pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut selepas kenderaan yang dinaikinya dipercayai terbabas sebelum melanggar pokok di tepi jalan di Jalan Kuching di sini awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu melalui sistem MERS999 pada pukul 1.25 pagi.

Sebaik menerima panggilan, seramai 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelematan (BBP) Sentul dan Jinjang dikejarkan ke lokasi kejadian bersama dua jentera FRT.

Sebuah kereta jenis Honda City terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan di Jalan Kuching selepas bulatan Jalan Ipoh, awal pagi tadi.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi terdapat kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Honda City telah terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan di Jalan Kuching selepas Bulatan Jalan Ipoh.

“Terdapat seorang mangsa berusia 30-an di dalam kenderaan itu dan berjaya dikeluarkan pukul 2.14 pagi namun mangsa disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pasukan yang diketuai oleh Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Rusdi Ismail tamat sepenuhnya pukul 2.32 pagi. – MalaysiaGazette