MACC MITRA Funds Malaysian Indian Transformation Unit Ministry of National Unity B40
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya telah menahan seorang pengurus kanan syarikat pembinaan dan penyelenggaraan kerana disyaki menerima rasuah kira-kira RM72,000 bagi membantu proses pinjaman daripada sebuah agensi kerajaan berjumlah RM5 juta.

Suspek lelaki berusia 53 tahun itu telah ditahan kira-kira pukul 6 petang semalam di Pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, suspek tersebut dipercayai menerima wang rasuah itu daripada seorang pengarah urusan sebuah syarikat lain untuk membantu proses kelulusan permohonan pinjaman syarikat berkenaan.

Jelasnya, syarikat pembinaan dan penyelenggaraan tempat suspek berkhidmat itu merupakan anak syarikat agensi kerajaan tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya, Mohd Anuar Ismail ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, suspek juga telah dibebaskan dengan jaminan SPRM setelah selesai keterangan diambil.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast