Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dengan Penchala di Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 13 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), yang telah siap sepenuhnya, kini berada dalam tempoh liabiliti kecacatan dan perakuan akaun muktamad akan dikeluarkan setelah kesemua tuntutan bayaran akhir pihak Kontraktor Pakej Kerja (KPK) diperhalusi dan diperakui oleh pihak Turnpike Synergy Sdn Bhd, perunding dan KPK.

Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd (PLDASH) merupakan syarikat pemegang konsesi DASH manakala Turnpike adalah kontraktor utama yang dilantik oleh PLDASH untuk menyiapkan kerja-kerja pembinaan DASH.

PLDASH dan Turnpike merupakan anak syarikat milik penuh Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas).

Dalam kenyataan hari ini, Prolintas berkata, sebarang tuntutan dakwaan tunggakan atau pertikaian akan diperhalusi melalui proses yang telah termaktub dalam kontrak di antara kesemua pihak termasuklah proses timbang tara di antara pihak Turnpike dan KPK.

“Kerja-kerja pembinaan DASH telah diagihkan kepada lapan KPK oleh Turnpike melalui proses tender terbuka. KPK selanjutnya melantik pelbagai sub-kontraktor dan pembekal bagi tujuan menyiapkan kerja-kerja pembinaan tersebut.

“Pihak Turnpike membuat bayaran kepada KPK selepas mendapat perakuan dan pengesahan daripada Perunding Jurutera Utama dan Perunding Juurukur Bahan (Perunding) melalui Sijil Perakuan Interim Pembayaran.

“Segala tuntutan daripada KPK disemak, diteliti dan disahkan melalui proses yang telus serta berpandukan terma-terma kontrak mengikut peratusan kerja yang disiapkan,” katanya.

Prolintas berkata demikian merujuk kepada isu berkaitan dakwaan sub-kontraktor terdapat tunggakan bayaran sebanyak RM80 juta dalam menyiapkan projek Lebuhraya DASH.

Menurut syarikat, pihak Turnpike telah melaksanakan kewajipan sebagai kontraktor utama yang bertanggungjawab dengan membuat bayaran ke atas segala tuntutan yang diperakukan, disahkan dan dipersetujui bersama oleh KPK dan perunding tersebut.

Katanya, pihak Turnpike juga telah mengambil pelbagai inisiatif dalam membantu KPK termasuk pembayaran dalam tempoh 30 hari berbanding terma kontrak 60 hari; pembayaran terus kepada sub-kontraktor tertakluk kepada kebenaran daripada KPK dan pembayaran dua kali sebulan untuk membantu aliran tunai KPK dan sub-kontraktor untuk melaksanakan pembinaan lebuhraya DASH dengan jayanya.

Sekiranya pihak sub-kontraktor atau mana-mana pihak mendakwa terdapat bayaran yang masih belum dijelaskan oleh pihak KPK, Prolintas berkata pihak sub-kontraktor tersebut sewajarnya merujuk kepada terma-terma kontrak di antara KPK dan sub-kontraktor tersebut bagi mencari jalan penyelesaian.

“Pihak Turnpike pada setiap masa komited untuk menyelesaikan sebarang isu dan pertikaian berpandukan terma-terma kontrak dan piawaian tadbir urus korporat yang telus,” katanya. – BERNAMA