Keadaan Stadium Kanjuruhan selepas tragedi rusuhan 1 Oktober lalu. foto Twitter

JAKARTA – Indonesia akan merobohkan Stadium Kanjuruhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 131 penyokong bola sepak maut dan ratusan cedera dalam rempuhan bulan ini.

Presiden Joko Widodo berkata, stadium baharu di Malang akan dibina semula mengikut piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh badan induk sukan itu Fifa.

Dengan pembinaan baharu itu, katanya, Indonesia mesti mengubah secara menyeluruh pengurusan bola sepak.

Widodo membuat pengumuman itu selepas bertemu Presiden Fifa, Gianni Infantino pada hari Selasa.

Indonesia akan menjadi tuan rumah Piala Dunia bawah 20 tahun pada tahun 2023.

Tragedi yang berlaku pada 1 Oktober lalu menyaksikan ribuan penyokong bola sepak terperangkap dalam rempuhan ketika cuba meninggalkan Stadium Kanjuruhan selepas kekalahan pasukan tuan rumah Arema FC kepada Persebaya Surabaya.

Enam orang, termasuk pegawai polis dan penganjur, menghadapi pertuduhan jenayah atas kejadian itu, yang merupakan salah satu bencana stadium terburuk di dunia.

Mereka akan didakwa atas kesalahan jenayah kecuaian menyebabkan kematian, yang membawa hukuman maksimum lima tahun.

Siasatan minggu lalu memutuskan insiden tragis itu dicetuskan oleh polis yang melepaskan gas pemedih mata ke tempat duduk penonton.

Laporan itu juga mendapati beberapa faktor penyumbang lain, termasuk stadium dipenuhi melebihi kapasiti dan pintu keluar terkunci, serta desakan oleh pegawai liga untuk mengadakan perlawanan pada waktu malam bagi mendapatkan rating televisyen yang lebih tinggi.

Penyiasat juga menggesa Lembaga Persatuan Bola Sepak Indonesia meletak jawatan sebagai satu bentuk tanggungjawab. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast