Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyampaikan cenderahati penghargaan kepada penerima daripada agensi kerajaan dan swasta pada Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji dan Penghargaan Sahabat Korporat Tabung Haji musim Haji ketika di Menara Tabung Haji Tun Razak, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR –  Lembaga Tabung Haji (TH) telah menerima sumbangan sebanyak RM1.8 juta daripada 12 organisasi pada musim haji tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, sumbangan berkenaan disalurkan melalui melalui  program ‘Sahabat Korporat TH’ untuk membantu melancarkan urusan jemaah haji.

“Program ini telah banyak membantu para jemaah haji kita, lebih-lebih lagi semasa mereka sibuk membuat persiapan untuk barangan yang perlu dibawa ke tanah suci.

“Sumbangan dan barangan yang tuan-tuan dan puan-puan berikan sangat membantu dan saya sendiri melihat rata-rata jemaah haji Malaysia menggunakan barangan sumbangan tersebut ketika di Mekah, Arafah, Mina dan Madinah.

Kita tolong orang, tuan-tuan tolong orang yang pergi haji, insya-Allah tidak kurang rezeki tuan-tuan dan puan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Kesyukuran Tamat Operasi Haji Musim 1443H Dan Penghargaan Sahabat Korporat TH 2022 di sini hari ini.

Menurut Idris, dalam masa yang sama, sumbangan yang disalurkan telah membentuk satu keseragaman identiti yang membezakan jemaah haji Malaysia dengan jemaah dari negara lain.

“Di samping itu, sumbangan ini bukan sahaja memberikan pulangan (ROI) berbentuk pendedahan jenama (brand exposure) kepada syarikat terlibat tetapi yang lebih utama ialah pulangan jauh lebih baik di akhirat nanti, Insya-Allah,” tambahnya.

Sehubungan itu beliau berharap, lebih banyak organisasi yang akan menjadi  penyumbang pada masa akan datang.   

“Keprihatinan ini akan menjadi contoh dan menyeru agar lebih banyak badan korporat lain untuk turut serta pada masa akan datang. Semoga sumbangan ikhlas ini diberikan ganjaran terbaik oleh Allah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette