Tun Dr. Mahathir Mohamad.- Foto AMIRUL SHAUFIQ, 11 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen selepas ‘kehilangan majoriti’ dipersoalkan oleh Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Dr. Mahathir yang merupakan Pengerusi Pejuang berkata, seseorang perlu menggantikan Ismail Sabri selepas beliau kehilangan sokongan untuk menjadi perdana menteri.

Menurut beliau, Ismail Sabri perlu mencontohi tindakan yang diambil oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin yang meletakkan jawatan selepas hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

“Jika Mahiaddin dijatuhkan kerana hilang majoriti dan diganti dengan Ismail Sabri, kenapa kehilangan sokongan, Ismail tidak letak jawatan dan partinya naikkan Perdana Menteri lain. Tidak perlu bubar Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Sebelum ini, beberapa pihak mendakwa Ismail Sabri telah kehilangan sokongan sebagai perdana menteri selepas 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN) mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong meminta agar Parlimen tidak dibubarkan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bertanya sama ada Perdana Menteri  masih memiliki sokongan 12 menteri dari Perikatan Nasional (PN).

Dalam reaksinya, Ismail Sabri berkata, tindakan menteri menulis surat kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai kurang bijak.

Surat berkenaan telah menjejaskan beliau sebagai Perdana Menteri dan pembubaran Parlimen adalah perlu bagi mengelak ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan.

“Justeru, pembubaran ini bagi mengelakkan ketidakharmonian tercetus dalam pentadbiran kerajaan.

“Tindakan menteri-menteri ini jelas menjejaskan jawatan perdana menteri yang mana pelantikan itu diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong. Tindakan mereka juga telah menjejaskan semangat setiakawan dalam pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 16 Ogos tahun lalu dan keputusan itu dibuat selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Sementara itu dalam hantaran yang sama, Dr. Mahathir berkata, dunia akan mentertawakan Malaysia sekiranya banduan hadir ke Dewan Rakyat untuk menasihati kerajaan bagaimana mentadbir negara.

Walaupun tidak menamakan individu yang dimaksudkan namun ia dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Hentikan layanan istimewa kepada banduan pembesar yang melakukan jenayah besar tetapi banduan yang curi RM10 digari dan dipenjara serta merta,” kata Dr. Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Apa banggang orang tua nyanyok ni. UMNO bukan gila kuasa macam kau . Dah tua pun masih nak nak jadi calon. Dia bijak serah pada rakyat untuk pilih kerajaan yang stabil untuk pulihkan ekonomi dan krpercayaan pelabur.

Comments are closed.