Suasana tempat mengumpul data di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah Zon Wilayah Tengah (PKRC ZWT) yang telah memulakan operasi pada 25 Februari 2022 ketika sesi taklimat dan Lawatan Khas Media ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS, Serdang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 02 MAC 2022.

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, sehingga kini Covid-19 masih merupakan Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) yang merupakan amaran tahap tertinggi bagi pertubuhan itu.

Penetapan itu dibuat meskipun angka kematian mingguan hampir berada pada tahap terendah berbanding sejak wabak itu bermula.

Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa WHO berkata, walaupun jumlah kes teruk Covid-19 dan kematian mingguan menurun tetapi angka kes kematian akibat wabak ini tetap tinggi berbanding virus pernafasan lain.

WHO juga memberi amaran tentang komplikasi berkaitan Covid-19 dan keadaan selepas Covid-19, dengan kesan penuh daripada jangkitannya masih belum diahami sepenuhnya.

Wabak itu juga boleh berkembang semasa musim sejuk yang akan datang di hemisfera utara, kata jawatankuasa itu.

Sementara itu, jurang semasa dalam pengawasan global Covid-19 telah menghalang pengenalpastian awal dan penilaian evolusi virus itu.

Dengan virus itu dijangka terus berkembang, jawatankuasa itu berkata, ciri genetik dan antigen bagi varian masa depan belum lagi boleh diramalkan dengan pasti.

Varian Covid-19 yang berkembang mungkin menimbulkan cabaran kepada vaksin dan terapeutik semasa.

“Memandangkan pertimbangan di atas, jawatankuasa bersetuju bahawa penyelarasan berterusan tindak balas antarabangsa adalah perlu,” dan menganggap bahawa “keadaan kekal dinamik dan memerlukan penilaian semula yang kerap dan bahawa penamatan PHEIC, apabila dianggap boleh dilaksanakan, harus dilaksanakan dengan selamat,” kata WHO.

Jawatankuasa itu mengesyorkan perlu ada tiga keutamaan utama terhadap jangkitan Covid-19 pada masa depan iaitu mengukuhkan pengawasan dan mencapai sasaran vaksinasi untuk kumpulan berisiko; terus meningkatkan akses kepada terapeutik mampu milik; dan mengukuhkan perancangan kesiapsiagaan wabak, sambil terus melindungi kumpulan yang paling berisiko. – Xinhua