KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong menyeru para calon dan penyokong parti-parti politik mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen bermula dari hari penamaan calon pada 5 November ini.
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah turut menasihati semua calon bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang dan akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia sepanjang tempoh kempen hingga hari mengundi pada 19 November 2022.
Baginda mengingatkan, dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, nilai-nilai murni dan adab perlu dijaga oleh semua calon dan penyokong.
“Jauhkanlah segala sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin.
Terdahulu Ahmad Fadil memaklumkan, Yang di-Pertuan Agong berkenan menerima taklimat persiapan Polis Diraja Malaysia dan agensi berkaitan bagi tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota.
Menurutnya, pada hemat baginda, kerjasama baik dari semua pihak amat penting, di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.
Sehubungan itu, baginda mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendoakan semoga PRU-15 kelak berjalan lancar dan selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah. – MalaysiaGazette