Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah sudah mempunyai calon bagi mengisi kekosongan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) setelah Datuk Suraya Yaacob melepaskan jawatan itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Katanya, pelantikan anggota exco baharu itu akan diumumkan selepas cadangan nama calon mendapat perkenan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KXP AirportCity Holdings dengan 10 rakan strategik dalam industri bagi projek pembangunan Kedah Aerotropolis, di sini, hari ini.

Suraya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang dan Ketua Penerangan UMNO Kedah, melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber dan Tenaga negeri pada 13 Oktober lalu.

Muhammad Sanusi berharap jawatan Exco itu dapat diisi sebelum bermulanya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijangka hujung bulan ini dan sekiranya masih tiada pengganti, beliau akan menggalas tanggungjawab untuk menjawab soalan berkaitan portfolio itu ketika sidang DUN.

Dalam perkembangan lain, ditanya sama ada beliau akan bertanding kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November depan, Muhammad Sanusi berkata, beliau tidak bercadang untuk bertanding di kerusi Parlimen.

Beliau juga berkata, pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) di Kedah sudah selesai tetapi tidak boleh diumum buat masa ini. – Bernama