Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang disyaki mencampakkan tiga ekor kucing dari tingkat 15 sebuah apartmen akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, suspek seorang peniaga akan didakwa pada jam 9 pagi.

“Sebelum ini kita telah menahan suspek pada hari kejadian, Isnin lalu dan direman selama tiga hari untuk membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebelum menerima arahan untuk mendakwa suspek pada Jumaat (21 Oktober 2022) ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Tambah beliau, lelaki itu akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan membunuh haiwan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Pada Rabu lalu, Mohamad Fakhruddin dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengadu yang melihat seorang lelaki bertindak mencampak tiga ekor kucing daripada tingkat 15 sebuah apartmen di Jalan PJS 8/9 Petaling Jaya.

Bertindak atas maklumat itu, polis menahan seorang lelaki berusia 44 tahun yang merupakan penduduk di tingkat 15 apartmen itu.

Katanya, pemeriksaan di tingkat bawah apartmen itu mendapati tiga ekor kucing ditemui mati. – MalaysiaGazette