Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir (tiga dari kanan) merasmikan Program PJ Watch di Laman MBPJ, Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) membelanjakan hampir RM76 juta untuk urusan kutipan lebih kurang 230, 000 tan sampah dan pembersihan awam setahun.

Kos tersebut dijangka meningkat sekiranya persepsi masyarakat terhadap sampah dan kebersihan tidak berubah, kata Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Azhan Md Amir.

Bagi usaha mengurangkan pembuangan sampah secara haram, Jabatan penguatkuasaan MBPJ melaksanakan penguatkuasaan melalui snap and search.

“Sebanyak 193 kompaun telah dikeluarkan melaui carian maklumat berkaitan manakala sebanyak 15 sitaan melibatkan lori dan tong roro telah dijalankan.

“Jabatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam turut mengambil tindakan mengkompaun pemilik premis perniagaan untuk menyediakan kemudahan tong sampah bagi kegunaan sendiri dan orang ramai.

“Sejak tahun 2021 sehingga kini, sejumlah 228 notis telah dikeluarkan,” katanya semasa merasmikan Program PJ Watch di Laman MBPJ hari ini.

Tambah Mohamad Azlan,  tindakan membuang sampah dan mengotorkan persekitaran adalah satu kesalahan yang sentiasa diawasi pihaknya dan akan dikenakan denda.

Papan tanda yang diletakkan di kawasan awam sebagai peringatan kepada orang ramai.

“Sejumlah 20 unit papan tanda akan didirikan di tempat tumpuan untuk memberi peringatan kepada orang ramai pada setiap masa.

“Pada peringkat permulaan, dua lokasi telah dipilih sebagai projek perintis iaitu Pusat Bandar Seksyen 52 sebagai Kota Seni Petaling Jaya dan Pusat Bandar SS 21, Damansara Utama meliputi sekitar kawasan pusat bandar,” katanya.

Program PJ Watch berlandaskan kepada konsep polluter pays bagi merealisasikan hala tuju pelan PJ Smart, Sustainable and Resilient (PJSSR) 2030 bagi menguruskan sisa pepejal dengan lebih efektif.

Mohamad Azhan berkata, program itu mengintegrasi elemen pendidikan dan penguatkuasaan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang awam menjaga kebersihan adalah tanggungjawab bersama.

Katanya, kempen pendidikan akan berjalan selama sebulan bermula hari ini.

“Sepanjang tempoh ini, teguran dan nasihat akan diberikan kepada mereka yang melakukan kesalahan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan selepas tamat tempoh pendidikan tersebut,” ujarnya.

Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan hukuman menurut undang-undang yang digunapakai iaitu Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-undang Kecil Pemungutan, pembuangan dan pelupusan sampah sarap (MBPJ) 2007 dan Undang-undang kecil mencegah kekotoran (MPPJ) 1999. – MalaysiaGazette