KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi jaminan tahap keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini terkawal.
Beliau berkata, rakyat diingatkan agar tidak bimbang dengan perkembangan keselamatan negara susulan isu merekrut ejen Mossad di Malaysia dikhuatiri mengugat keselamatan negara.
“Saya ingat Ketua Polis Negara sudah buat kenyataan, kita tunggu lepas saya jumpa polis, Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua agensi berkaitan
“Tahap keselamatan masih terjamin, jadi rakyat tak perlu bimbang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, din sini, petang ini.
Sebelum ini, media melaporkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang meneliti satu dakwaan kemasukan ejen perisikan Israel, Mossad yang bertujuan menculik seorang warga Palestin seperti yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan pada Selasa.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin menjelaskan, pemerhatian sedang dilakukan secara menyeluruh dan jika perlu tangkapan akan dapat diambil serta-merta.
Tambah Hamzah, jika terdapat mana-mana warga asing yang memasuki negara ini tanpa dokumen sah, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikatakan berjaya membongkar satu jaringan perisikan Israel, Mossad di Malaysia.
Perkara itu terbongkar apabila 11 rakyat Malaysia dikatakan ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kes penculikan warga Palestin akhir September lalu.
Wanita tempatan berusia 30 tahun dipercayai dilatih sebagai penyiasat persendirian di Perancis sebelum direkrut oleh ejen Mossad sebelum 2018, turut disyaki menjadi dalang rangkaian perisikan Israel di negara ini. – MalaysiaGazette