Pengerusi Pemuda Barisan Nasional, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pemuda Barisan Nasional (BN) Malaysia sudah menghantar senarai calon kepada presiden parti masing-masing, kata Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Pengerusi Pemuda BN itu berkata, sehingga kini pihaknya belum mendapat apa-apa maklumat mengenai nama calon yang tersenarai.

“Kita tidak dapat maklumat lagi pasal calon tapi senarai calon Pemuda telah sampaikan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Pada peringkat Pemuda MCA dan MIC juga telah disampaikan kepada Presiden parti masing-masing. Begitu juga dengan Pemuda PBRS.

“Saya rasa gambaran yang saya dapat, ramai calon wajah baru dan muda. Prosesnya sudah selesai, sekarang ini kita menunggu masa untuk pengumuman oleh Pengerusi (BN) dan presiden (parti-parti) sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda BN Malaysia di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Kata Asyraf, Pemuda BN dan UMNO akur serta bersiap sedia sesiapa sahaja bakal dipilih sebagai calon PRU-15.

Yang penting, ujarnya, calon itu membawa obor BN dan boleh menang di semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri iaitu Perlis, Perak dan Pahang.

“Selagi tidak diumumkan, tiada siapa tahu bertanding di mana, bertanding atau tidak. Tiada siapa boleh menyatakan secara pasti bertanding di mana,” katanya.

Menurut Asyraf, pendekatan kempen Pemuda UMNO dan BN ialah akan menyuarakan aspirasi anak muda berhubung mesej yang hendak disampaikan.

Kata beliau, kempen Pemuda lebih banyak memberi penerangan mengenai apa yang parti boleh bawa kepada rakyat, banding kempen menghasut dan fitnah. – MalaysiaGazette