Samsudin Yahya

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya didapati tidak sedarkan diri sebelum meninggal dunia dalam pesawat yang menuju ke Kota Kinabalu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada petang tadi.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, pemeriksaan awal dalam penerbangan mendapati tiada pergerakan nadi pada mangsa.

“Bantuan kecemasan cuba diberikan dalam pesawat itu tetapi mangsa masih tidak sedarkan diri sebelum dimaklumkan kepada juruterbang yang kemudian berpatah balik untuk melakukan pendaratan cemas ke KLIA.

“Selepas sampai ke KLIA, mangsa telah diperiksa oleh doktor dan disahkan telah meninggal dunia pada jam 4.47 petang,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Pesawat itu dilaporkan berlepas pada jam 2.21 petang.

Menurut Imran, pemeriksaan terhadap rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah dijalankan oleh polis.

Tambah beliau, jenazah Allahyarham dihantar ke hospital pada jam 7.05 malam untuk bedah siasat.

“Siasatan awal polis juga mendapati mangsa berusia 67 tahun pernah menjalani pembedahan jantung pada 2009 dan kali terakhir beliau menjalani pemeriksaan jantung pada 17 Oktober lalu di Institut Jantung Negara (IJN),” ujarnya

Berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerusi hantaran Facebook:  “Semoga ALLAH ampunkan segala dosa Allahyarham Datuk Samsudin Yahya yang baru sahaja pergi menghadap Illahi. Semoga ALLAH terima segala amalan dan mengangkat darjat Allahyarham disisiNya.

“Semoga pemergian Allahyarham menjadi kerehatan sebenar dari urusan dunia.

“Semoga dilindungi dari seksa kubur dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya.

Allahyarham juga merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Sapi dan menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekong selama tiga penggal. – MalaysiaGazette

Bekas ADUN Sekong meninggal dunia dalam pesawat