Fuziah Salleh

TEMERLOH – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak akan bertanding di Pahang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara tersebut disahkan Pengerusi PKR Pahang, Fuziah Salleh ketika ditemui MalaysiaGazette malam tadi selepas Program Jelajah Harapan Pahang di Mentakab.

“Di Pahang ini tiada signifikan untuk penyertaan parti MUDA untuk bertanding. Tiada kerusi untuk parti MUDA setakat ini,” katanya.

Fuziah juga memaklumkan pembahagian kerusi di Pahang untuk Pakatan Harapan (PH) udah selesai dan ia tidak banyak beza daripada pilihan raya lalu.

“Kali ini parti komited untuk menetapkan lebih ramai calon wanita dan anak muda,” katanya.

Sementara itu, Fuziah mahu golongan anak muda untuk lebih cakna dan memberi perhatian tentang perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini.

Katanya, golongan belia berumur lingkungan 21 hingga 29 tahun merupakan 30 peratus daripada jumlah pengundi kali ini.

Justeru, mereka boleh digelar sebagai king maker untuk menentukan peneraju negara kelak.

“Kadang-kadang mereka yang di peringkat umur begini mereka merasakan pilihan raya atau politik tidak ada kena mengena dengan mereka. Mereka tidak minat dan sebagainya.

“Jadi kalau orang muda merasakan ini tiada kena mengena dengan mereka, orang muda kena fikir duit kita tiada dalam negara ini untuk perbaiki sekolah, untuk bina sekolah baru, untuk bina hospital baru,” ujarnya. – MalaysiaGazette