BALIK PULAU – Gabungan parti politik dalam negara dikatakan tidak boleh mendakwa Undi 18 adalah hak milik mereka sehingga ia dapat dibuktikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim berkata, corak pengundian akan berubah kali ini dan sesuatu parti hanya mampu menang jika berjaya menarik minat pengundi baharu itu.
Bagaimanapun, beliau menyifatkan sukar untuk meramalkan parti mana yang akan mendapat sokongan golongan muda.
“Perubahan kepada konfigurasi politik akan berlaku pada PRU-15 ini dan kesan kemasukan Undi 18 adalah kemunculan kuasa politik golongan muda di negara ini.
“Parti politik yang berjaya menarik minat pengundi muda, maka parti itulah yang akan memenangi PRU-15 kerana corak pengundian dan kemenangan sesuatu parti jelas akan dipengaruhi dengan kemasukan pengundi muda ini.
“Selain itu, kehadiran pengundi baharu terdiri daripada orang muda ini juga akan mempengaruhi peratusan pengundi sesuatu kawasan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Zolkifly berkata, kehadiran pengundi dalam kalangan kumpulan itu akan memberi cabaran kepada semua parti bertanding ekoran pertambahan undi di setiap kerusi.
“Ini satu perkara positif untuk demokrasi dan politik dalam negara, selama ini ada parti yang boleh kata dia selesa ada pengundi tegar yang macam mana pun akan undi dia.
“Tetapi dengan anak muda ini kita tak boleh baca kerana ada kemungkinan mereka undi politik A, politik B dan ada kemungkinan juga tidak mengundi.
“Bagaimanapun, saya yakin sekiranya kita tunjuk kesungguhan dan keikhlasan untuk mendekati mereka, buat tawaran bermakna anak muda akan memilih atau keluar mengundi,” katanya. – MalaysiaGazette