Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika hadir pada Pesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka, Kuala Lumpiur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO perlu menilai kesemua calon yang dikemukakan Badan Perhubungan di seluruh negeri sebelum disenarai pendek dan diumumkan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika ini pihaknya masih melakukan perbincangan dan saringan calon yang dikemukakan Badan Perhubungan UMNO Negeri, minggu lepas.

“Perbincangan masih lagi diteruskan untuk memilih calon-calon daripada UMNO.

“Kerusi (calon) Perhubungan (UMNO Negeri) sudah pun dibentangkan cadangan mereka pada minggu lepas. Jadi kita akan buat penilaian,” katanya selepas merasmikan Fiesta Mega Penjaja, Peniaga dan Usahawan Kecil Keluarga Malaysia di Dataran Merdeka.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan tarikh hari penamaan PRU15 ditetapkan pada 5 November, manakala undi awal dan undi penuh masing-masing pada 15 dan 19 November ini.

Dalam pada itu, rundingan kerusi antara parti-parti komponen dalam BN masih belum dimuktamadkan dan perbincangan masih berjalan.

“Pembahagian kerusi (BN) belum selesai lagi. Tak pasti lagi (muktamad), kita banyak lagi pembahagian kerusi dengan komponen (BN) masih dalam perbincangan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast