shaiful hazizy zainol abidin Mou REE sindiket
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Pas tidak perlu berasa bimbang dan takut dengan sasaran UMNO untuk memenangi 10 kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, UMNO dan BN hanya menetapkan sasaran dan istiqamah untuk mencapainya.

“Kami meletakkan sasaran yang rasional selepas kajian sikap dibuat.

“Jangan pula terkejut sekiranya angan-angan kami ini menjadi kenyataan, 10 kerusi Parlimen Kedah berada dalam genggaman UMNO dan BN,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menyifatkan sasaran BN untuk menang sekurang-kurangnya 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah pada PRU15 sebagai angan-angan.

Beliau berkata, ini adalah kerana rakyat Kedah tidak mahu BN memerintah semula negeri tersebut.

Shaiful Hazizy turut menasihatkan Pas agar berhenti meninggi diri dan jangan umpama beriak tanda tak dalam, bergoncang tanda tak penuh yang bongkak bercakap besar namun tidak berisi.

“Segala kemungkinan boleh terjadi kerana kita bukanlah tuhan yang boleh menentukan masa depan dengan pasti,” jelasnya. – MalaysiaGazette