Zolkifly Md Lazim

BALIK PULAU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Zolkifly Md Lazim memberi gambaran beliau bersedia bertanding kerusi Parlimen Balik Pulau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Zolkifly berkata, bagaimanapun beliau menyerahkannya kepada pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama ada mahu mencalonkan beliau atau sebaliknya.

“Saya masih kekal sebagai ADUN Teluk Bahang susulan Pulau Pinang memutuskan untuk tidak membubarkan DUN namun jika diberi peluang saya sedia galas tugas untuk memastikan Bersatu memenangi kerusi Parlimen Balik Pulau.

“Tambahan pula, Teluk Bahang itu salah satu kawasan dalam Parlimen Balik Pulau, jadi sudah semestinya penduduk di sini mengenali saya dan kerja-kerja membantu serta menyantuni rakyat di sini dilakukan sejak saya menang PRU14 hingga kini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, hari ini.

Mengulas mengenai kerusi Parlimen itu merupakan kerusi tradisi UMNO selain penyandangnya ketika ini daripada PKR, Zolkifly mendakwa, wakil rakyat berkenaan gagal menambat hati pengundi sebaliknya menyifatkan kemenangan PRU14 itu sebagai tsunami politik.

“Kalau betul wakil rakyat yang dimaksudkan itu jalankan tanggungjawab beliau mengapa penduduk kawasan lain datang cari saya? Sedangkan saya hanya ADUN, jadi kerja sebagai Ahli Parlimen ni boleh dikatakan dibuat sejak beberapa tahun lagi kerana bagi saya rakyat perlu diutamakan meskipun mereka datang dari kawasan lain.

“Saya berpegang bahawa petunjuk prestasi utama (KPI) selama ini perlu menjadi ukuran untuk seseorang itu dicalonkan dan selebihnya kita serah pada rakyat kerana kuasa di tangan mereka,” jelas beliau.

MalaysiaGazette difahamkan Pas berminat bertanding Parlimen Balik Pulau susulan pada PRU14 kerusi tersebut ditandingi parti itu meskipun calonnya Muhammad Imran Muhammad Sa’ad hilang deposit apabila mendapat undi sebanyak 5,298.

Kerusi Parlimen Balik Pulau dimenangi Datuk Muhammad Baktiar Wan Chik dengan majoriti undi 6,464, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast