Peralihan monsun ini mengundang hujan lebat, ribut petir dan berlaku banjir kilat.

PETALING JAYA – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan melaksanakan Arahan Wajib Pindah pada peralihan Monsun Timur Laut (MTL) antara pertengahan November hingga Mac 2023.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Norhafifi Ismail berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan ramai yang enggan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) semasa MTL akhir tahun lalu.

“MTL kali ini diramalkan membawa taburan hujan yang lebih banyak dengan jangkaan lebih banyak negeri yang akan terkesan berbanding tahun lalu sekaligus memberikan ancaman lebih,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya, arahan berkenaan bukan sahaja menjurus kepada mangsa terkesan banjir tetapi juga kepada mereka yang berada dalam situasi kecemasan, krisis, darurat dan bencana lain sepanjang tempoh itu.

“Peruntukan kuasa di bawah Akta 221 menjelaskan mengenai kuasa oleh pegawai dan anggota APM untuk mengarahkan pengungsian mana-mana kawasan dan premis termasuk menahan, memindah serta menyebabkan dipindahkan mana-mana orang yang tidak mematuhi arahan untuk berpindah,” ujarnya.

Sementara itu, Norhafifi berkata, penggunaan kuasa itu akan dilakukan secara berhemah dan beliau meminta orang ramai supaya mengambil serius dan mematuhi setiap arahan yang diberikan.

“APM dan semua agensi pengurusan bencana terbabit akan mengambil tindakan proaktif dan bekerjasama bersama masyarakat bagi memastikan keselamatan komuniti sentiasa terjamin semasa musim MTL.

“APM juga memohon agar orang ramai sentiasa bertenang, tidak panik dan terus mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan diri serta sentiasa mengikuti perkembangan semasa dengan mendapatkan informasi yang sahih,” katanya. -MalaysiaGazette