KUALA LUMPUR – Charles Santiago dari DAP berkemungkinan besar tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Kerusi yang disandang olehnya di Parlimen Klang itu dijangka akan diberikan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco Pembangunan Sosio Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja Selangor, V. Ganabatirau.
Juga ada khabar angin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan dan mantan exco kerajaan negeri, Ean Yong Hian Wah juga disebut-sebut menjadi calon di kawasan yang sama.
Antara punca mengapa Charles Santiago tidak akan kembali bertanding kerusi Parlimen Klang kerana tidak begitu digemari segelintir pimpinan atasan DAP.
Pemimpin veteran DAP, Ronnie Liu mendakwa, jika benar Charles digugurkan daripada menjadi calon, ia tidak lain tidak bukan kerana sikapnya yang begitu lantang dalam sesuatu perkara.
“Kelantangan Santiago tidak disukai segelintir tetapi itu juga antara yang paling disukai oleh rakyat khasnya penduduk Klang itu sendiri.
“Tetapi ianya berbeza di sini. Sesiapa yang berbeza pandangan dengan pemimpin tertinggi mungkin akan memiliki masa depan yang agak ‘berbeza’. Yang menjadi pak turut akan dapat surat watikah.
“Rasanya Charles Santiago bukan dalam golongan itu,” katanya ketika dihubungi oleh MalaysiaGazette hari ini.
Dalam pada itu, MalaysiaGazette juga telah difahamkan, Charles Santiago juga tidak akan diletakkan sebagai calon pada mana-mana kerusi pada PRU kali ini.
Perkara ini juga mendapat tentangan dari pihak-pihak terutamanya dalam kalangan masyarakat Klang yang mahu pemimpin mereka kembali dicalonkan.
Sebelum ini, Charles Santiago telah menang sebagai Ahli Parlimen Klang sejak tiga penggal itu berjaya meraih undi majoriti sebanyak 70,000 pada PRU-14.
Semalam, penyandang kerusi Parlimen Batu Kawan (DAP), Kasthuri Patto mengumumkan tidak akan bertanding kali ini.
Ahli Parlimen dua penggal itu bagaimanapun menyangkal khabar angin yang menyatakan beliau digugurkan daripada mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan sebaliknya menyifatkan keputusan itu dibuat atas kerelaan hatinya sendiri.
Kasthuri bertanding pertama kali di Parlimen Batu Kawan pada 2013 dengan meraih majoriti sebanyak 25,962 undi dan mendapat sokongan majoriti lebih besar 33,553 undi pada PRU-14. – MalaysiaGazette