Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polemik penggunaan logo untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam kalangan parti-parti Perikatan Nasional (PN) menunjukkan gabungan politik tersebut dalam keadaan ‘retak menanti belah’.

Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, keadaan mula memburuk apabila Pas berkeras mahu menggunakan logo sendiri bagi bertanding dalam PRU-15.

Menurut beliau, perkembangan itu menyebabkan Gerakan mengugut untuk tidak bertanding jika PN membenarkan Pas berbuat demikan di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Saya percaya inilah petandanya yang menunjukkan betapa gabungan ini dibentuk hanya demi kepentingan kuasa, bukanlah suatu gabungan politik yang utuh demi pembangunan negara.

“Umpama raga menanti pecah, itulah gambaran tepat bagi memaparkan keadaan semasa gabungan PN yang kini berada dalam keadaan genting.

“Di saat Majlis Presiden PN pun gagal menetapkan kata sepakat, saya pasti rakyat akan mula meragui wibawa PN bagi mengangkat suara mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 17 Oktober lalu, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong berkata, keputusan menolak logo Pas itu berdasarkan prinsip partinya untuk tidak menggunakan logo parti lain semasa pilihan raya.

Pada masa yang sama, Gerakan mahu bertanding menggunakan logonya sendiri di Pulau Pinang bukannya logo PN.

Shaiful Hazizy memberitahu, polemik itu berlaku angkara Pas yang cuba kelihatan dominan dan gagal merendahkan ego bagi menggunakan logo PN seperti parti-parti yang lain.

“Dari sisi lain, sifat Pas ini jelas menghantar mesej bahawa mereka tidak percaya untuk bertanding di bawah lambang PN.

“Mungkin mereka khuatir akan hilang undi atau mereka fikirkan sukar untuk melompat gabungan politik,” jelasnya. – MalaysiaGazette