Mustapa Mohamed.-Foto AFFAN FAUZI, 01 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi negara pada September merekodkan penurunan 4.5 peratus berbanding 4.7 peratusĀ  pada Ogos.

Begitu juga perbandingan bulan ke bulan yang menunjukkan inflasi pada September terus menyederhana kepada 0.1 peratus berbanding 0.2 peratus pada Ogos 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamad berkata, kadar inflasi bagi tempoh Januari hingga September adalah 3.3 peratus.

Menurut beliau, bagi bulan tersebut Malaysia mencatatkan kadar inflasi yang lebih rendah berbanding beberapa negara terpilih seperti Zon Euro (10.0%), Amerika Syarikat (8.2%), Filipina (6.9%), Thailand (6.4%), Indonesia (6.0%) dan Korea (5.6%).

“Kenaikan pada bulan September disumbangkan terutamanya oleh peningkatan inflasi kumpulan makanan yang menyederhana kepada 6.8% berbanding 7.2 peratus pada Ogos 2022.

“Kenaikan yang perlahan bagi kumpulan makanan ini didorong oleh komponen makanan di rumah yang meningkat dengan sederhana iaitu 5.7% berbanding 6.4% pada Ogos,” kata Mustapa dalam kenyataan hari ini.

Sub kumpulan daging yang merangkumi ayam, daging lembu, babi, kambing, kerbau dan itik telah mencatatkan peningkatan yang lebih perlahan kepada 6.6% pada September berbanding 9.9% pada Ogos.

Ini disebabkan terutamanya oleh ayam yang merupakan komponen terbesar dalam subkumpulan tersebut yang mewakili 46.1% telah menunjukkan penyederhanaan kenaikan harga yang signifikan iaitu 3.7% berbanding 10.7% pada bulan Ogos.

Walaupun kumpulan susu, keju dan telur mencatatkan peningkatan tertinggi sebanyak 8.8% pada September namun ianya masih lebih perlahan berbanding peningkatan 9.4% pada Ogos.

Telur ayam yang menyumbang sebanyak 22.8% kepada keseluruhan wajaran subkumpulan susu, keju dan telur turut menyederhana kepada 9.0% berbanding 12.6% pada bulan sebelumnya.

Subkumpulan sayur-sayuran juga telah mula menyederhana pada bulan September dengan catatan 6.3% berbanding 8.9% pada bulan sebelumnya.

Antara sayur-sayuran yang mencatatkan penurunan harga bulan ke bulan adalah tomato (-9.9%), timun (-7.8%) dan kacang buncis (-4.2%).

Selain sayuran beberapa jenis ikan juga mengalami penurunan
harga seperti ikan selayang (-3.4%) dan ikan selar kuning (-1.2%).

“Harga maksimum minyak masak tulen kemasan botol pelbagai saiz telah merekodkan penurunan berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober 2022 dengan kandungan lima kilogram mencatat pengurangan terbesar, iaitu penurunan daripada RM34.70 kepada RM33.50.

“Kesan daripada inisiatif ini dapat dilihat dengan jelas melalui kenaikan yang kecil sebanyak 4.8% bagi item minyak sebatian berbanding 6.6% pada Ogos,” katanya.

Menurut Mustapa, pelaksanaan harga maksimum minyak sawit botol dan penetapan paras harga siling ayam yang diperkenalkan oleh Kerajaan, telah memberi impak positif dan melegakan pengguna terutama golongan peniaga. – MalaysiaGazette