PETALING JAYA – Seorang pengurus hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pagi hari ini atas dakwaan mencampak dan membunuh seekor kucing dari tingkat 15 sebuah apartmen pada 17 Oktober lalu.
Tertuduh, Chan Kam Kin, 44, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat ke atas seekor kucing dengan mencampak haiwan itu dari tingkat 15 sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah Apartmen Desa Mentari Court di PJS 8/9 Petaling Jaya pada pukul 7.30 malam pada 17 Oktober lalu.
Pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Proses pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Kailash Sharma.
Semasa prosiding, Aqharie mencadangkan tertuduh diberi wang jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Kailash merayu kepada mahkamah supaya anak guamnya dibenarkan ikat jamin pada kadar rendah dengan alasan dia tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan perlu menyara seorang anak berusia lapan tahun.
Selepas mendengar hujah dan permohonan daripada kedua-dua pihak, Zhafran membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki campak kucing dari tingkat 15 sebuah apartmen didakwa esok
Beliau juga menetapkan 25 Januari 2023 sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut.
Pada Rabu lalu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid mengesahkan tentang tangkapan yang dibuat ke atas seorang lelaki warga berhubung kerana disyaki mencampak dan membunuh tiga ekor kucing didakwa milik jirannya dari tingkat 15 sebuah apartment yang dihuninya di Jalan PJS 8/9.
Tangkapan dibuat polis bertindak atas laporan yang diterima daripada seorang individu tempatan pada jam lebih kurang pukul 9.37 malam pada hari kejadian tersebut.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku telah melakukan perbuatan itu dengan membuang kucing itu daripada tingkat 15 apartmen yang dihuninya.
Suspek kemudian direman bermula Selasa sehingga 20 Oktober lalu untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan bagi tujuan pendakwaan. – MalaysiaGazette