Tan Sri Dr Azmi Rohani

JOHOR BAHRU – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor kini bersiap sedia berdepan pelbagai kemungkinan termasuk banjir di pusat penamaan calon dan pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) November depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani memberitahu, sebanyak lima pusat pengundian pada PRU-15 dikenal pasti berisiko dinaiki air seperti di Pengerang dan Batu Pahat yang akan diberi tumpuan.

Selain itu, kerajaan negeri turut mengadakan latihan simulasi berkaitan bencana alam itu.

“Mungkin juga perhatian saya berlakunya kenaikan air daripada mungkin hujan dan monsun jadi beberapa langkah awal dan RO (pegawai pengurus)  terpaksa menggunakan kebijaksanan dia untuk menentukan gerak kerja PRU tidak terganggu.

“Persiapan perlu mengambil kira lokaliti pusat mengundi yang sepatutnya diberi perhatian.

“Di Johor kita telah kenal pasti beberapa pusat mengundi yang kita jangka akan berlaku kenaikan air dan kita telah tukar dan bersiap sedia.

“Cuma kenaikan air yang menyebabkan tidak terputus hubungan dan pusat mengundi itu boleh beroperasi kita membuat langkah seperti biasa contohnya sekiranya kita mahu membawa peralatan kertas mengundi di pusat mengundi sebelum beroperasi pada masa itu kita akan sediakan trak dan pastinya kita akan pastikan pusat itu dibuka tepat  pukul 8 pagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Writ dan Watikah kepada 26 Pegawai Pengurus Johor bagi PRU-15 di sini malam tadi.

Tambah Azmi, pengalaman pusat pengundian dinaiki air ke paras lutut semasa Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 2011 akan dijadikan rujukan bagi memastikan segala persiapan PRU-15 tidak terganggu.

“Dulu kita ada pengalaman masa di DUN Tenang dan ketika itu banjir berlaku namun ketika itu dia tidak sampai memerlukan pusat mengundi itu perlu ditutup.

“Ini bermakna pusat mengundi itu masih lagi beroperasi dan banjir contoh masih mengizinkan pusat mengundi itu beroperasi,” jelasnya. – MalaysiaGazette