KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu atau lebih dikenali Peja mengalu-alukan kehadiran ‘orang luar’ yang mahu berhijrah ke kawasan tersebut.
Bagaimana Ahmad Faizal secara sinikal mengingatkan mereka yang mahu berhijrah ke Tambun perlu sedikit sebanyak belajar budaya negeri itu terutama dari segi sebutan dan percakapan.
Dalam video pendek yang dikongsi di media sosial, Ahmad Faizal yang merupakan Timbalan Presiden Bersatu antara lain memaklumkan mengenai sebutan perkataan air dalam loghat Perak.
“Hi assalamualaikum bagi mereka yang hendak berhijrah dari tempat lain, dari satu tempat ke satu tempat dan nak datang ke Tambun, saya nak beritahu sikit di Tambun kita sebut ayor dengar betul-betul… ayor bukan ayaq ya, ok terima kasih, selamat datang,” sindirnya.
Faizal bagaimanapun tidak menyebut nama individu yang dimaksudkan.
Bagaimanapun klip video berdurasi 26 saat itu dikongsi selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keputusan untuk bertanding Parlimen Tambun malam tadi.
Anwar berkata, keputusan beliau menentang Ahmad Faizal di Tambun sejajar dengan keazaman PH untuk menawan negeri Perak.
Menurutnya, beliau sedia berdepan Ahmad Faizal dan yakin mampu mengalahkan Ahli Parlimen Tambun itu.
Pada PRU-14 Ahmad Faizal yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan memenangi kerusi itu dengan 38,661 undi.
Beliau menewaskan calon BN, Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah (33,341) dan calon Pas, Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria (14,948).
Sejumlah 66.32 peratus pengundi di Parlimen itu adalah Melayu, Cina (20.22 peratus), India (11.42 peratus) dan Orang Asli (1.08 peratus). – MalaysiaGazette