Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong bersama keluarga mangsa menunjukkan gambar gambar kes pada sidang media mengenai dua kes 'disown relationship' di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Sepasang warga emas tekad memutuskan hubungan dengan anak sulung mereka selepas menderita diganggu ah long yang menuntut wang bayaran balik pinjaman anak mereka.

Ibunya dikenali sebagai Mu, 71, berkata, anaknya, Mu Chee Wai, 47 telah meminjam daripada ah long sebanyak empat kali sepanjang tahun ini.

“Tahun ini sahaja kami telah menyelesaikan lebih RM100,000 untuk tiga hutang ah long tetapi dia (anak) masih meminjam buat kali keempat (tahun ini) dan telah menghilangkan diri,” katanya pada sidang media anjuran Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA hari ini.

Mu berkata, ah long telah menyasarkan rumahnya yang terletak di Puchong dekat sini ekoran tidak dapat mengesan keberadaan anaknya.

“Mereka (ah long) telah merantai pintu pagar hadapan rumah kami menggunakan rantai keluli berat pada 12 Oktober yang lalu.cRumah jiran turut dirantai kerana mereka (ah long) ingin membuat jiran-jiran marah kepada kami.

“Pihak berkuasa terpaksa datang dan memotong rantai tersebut sebelum kami boleh keluar rumah,” katanya.

Tambah Mu, sindiket ah long itu juga telah menyebarkan risalah menyatakan hutang anaknya yang tidak dibayar di sekitar kawasan kejiranan.

“Mereka turut mengugut untuk menyimbah cat merah dan membakar rumah kami sekiranya gagal menyelesaikan hutang anaknya,” katanya.

Bimbang akan keselamatan keluarga, anak perempuan Mu telah membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Kinrara dekat sini baru-baru ini.

“Saya merayu kepada ah long supaya tidak mengganggu keluarga kami kerana kami sudah tidak tahan untuk menanggung derita.cKami telah membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengannya. Ah long pergi cari dia sahaja.

“Kami tidak tahu di mana dia sekarang, jadi ah long tolong jangan ganggu kami,” tambah Mu.

Mu menunjukkan gambar anaknya yang berhutang dengan ah long semasa sidang media Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2022.

Seorang lagi warga emas, Wong, 60, turut berhasrat untuk memutuskan hubungan dengan anak lelakinya yang berusia 22 tahun gara-gara pinjaman secara berterusan dengan ah long.

Menurut Wong, anaknya mula meminjam daripada ceti haram tu sejak usia 19 tahun.

“Saya telah melangsaikan hutang ah longnya sebanyak RM30,000 dan saya rasa itu sudah cukup. Ini kali ketiga dia meminjam dan jumlah keseluruhannya ialah RM12,000 daripada dua ah long yang berbeza,” katanya.

Wong kini tidak tahu lokasi anak bongsu daripada dua beradik itu dan mendakwa keluarganya masih sering diganggu oleh ah long.

“Saya mohon supaya peminjam wang untuk mencari anaknya dan bukan keluarganya.  Perkara sebegini seharusnya dihentikan,” tambahnya.

Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong bercakap pada sidang media  di Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 21 OKTOBER 2022.

Sementara itu, Michael Chong berkata, pihaknya menerima sebanyak 220 kes yang melibatkan ah long melibatkan jumlah hutang RM26 juta bagi tahun ini sahaja.

“Rekod tertinggi adalah pada bulan Ogos dengan 41 kes,” katanya.

Mischael seterusnya menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap perbuatan khianat sindiket ah long itu secepat mungkin.

“Kami berharap pelaku-pelaku ini akan dibawa ke muka pengadilan. Mereka menyasarkan mangsa yang tidak bersalah untuk hutang orang lain,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast