Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempersoalkan apakah sebenarnya pendirian Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pakatan Harapan terhadap rejim zionis Israel.

Ia susulan tangkapan dua suspek penculik warga Palestin yang didapati mengibarkan bendera besar Pakatan Keadilan Rakyat (PKR) dan merupakan penyokong parti itu dan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, walaupun Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil telah menafikan suspek-suspek tersebut bukan ahli parti itu pada 19 Oktober lalu tetapi kenyataan itu defensif.

Katanya, Fahmi tidak menafikan kebenaran bahwa penculik-penculik ini sememangnya adalah penyokong PKR dan PH, secara langsung tidak mencukupi untuk menjawab kebimbangan rakyat sama ada terdapat penyerapan elemen liberal yang menyokong zionis ke dalam PKR dan PH.

Oleh itu beliau mempersoalkan adakah Anwar masih berpendirian bahawa beliau akan menyokong kesemua ikhtiar untuk membela keselamatan negara zionis Israel itu daripada apa-apa ancaman keselamatan.

Persoalan itu dilontarkan kerana ia adalah kenyataan beliau kepada Wall Street Journal dalam tahun 2012 dan Anwar telah dikecam oleh Duta Palestin Abdelaziz Abhughosh pada 30 Januari 2012 disebabkan kenyataan berkenaan.

”Persoalan ini menjadi lebih serius memandangkan Anwar telah dinamakan calon PM bagi Pakatan Harapan bagi PRU-15. Adakah beliau sedia menarik balik kenyataan beliau tersebut serta berjanji kepada rakyat tidak akan berkompromi dengan Israel?

”Seterusnya apakah pendirian DAP atau Pakatan Harapan berkenaan status negara Zionis Israel apabila pada tahun 2019, salah seorang Ahli Dewan Negara DAP, Nga Hock Cheh telah mencadangkan Malaysia supaya membuka kedutaan di Israel.

“PKR dan PH tidak wajar terus berdiam mengenai isu penting ini yang melibatkan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan di sini.

Ahmad Faizal menegaskan rakyat mempunyai hak untuk mengetahui daripada pimpinan PH mengenai sejauh mana terdapat penyerapan elemen pro-Israel ke dalam penyokong ataupun keanggotaan PH dan PKR dan sama ada penyiasatan atau sebarang tindakan telah dilakukan oleh PH/PKR berkenaan penyerapan elemen zionis antara penyokong mereka serta pendirian calon PM bagi Pakatan Harapan mengenai sokongan bagi keselamatan Israel serta persoalan membuka kedutaan di Israel. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Anwar takut laa tu nak bertarung di Gombak…sekali Azmin gertak termasuk telor…pengecut weiiii

Comments are closed.