BERA : Kerajaan sentiasa menitikberatkan penguasaan literasi digital dalam kalangan Keluarga Malaysia terutamanya ketika negara menempuh era revolusi industri 4.0 dan melangkah ke hadapan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penggunaan teknologi muktahir ini membawa cabaran baharu kepada semua sektor dalam negara ini yang memerlukan perubahan seiring transformasi digital untuk kekal berdaya saing.

“Kerajaan turut melancarkan Inisiatif Malaysia Digital (MD) pada Julai lalu yang memberi isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga untuk meletakkan negara di saf hadapan dalam sektor ekonomi digital,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian sempena Majlis Penyampaian Sumbangan dan Penyerahan Komputer #Thetacares oleh Theta Edge Berhad di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.

Tambah beliau, Ruang Reka Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) Keluarga Malaysia juga telah dilancarkan di Felda Bukit Puchong bagi menyemarakkan budaya inovasi dan kreativiti agar lebih ramai dapat bergiat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

“Kerajaan telah melaksanakan program PerantiSiswa yang mana tablet berkualiti tinggi ini diberikan secara terus kepada kira-kira 400,000 pelajar yang layak secara percuma,” ujar Ismail Sabri.

Jelas beliau, ia bagi memastikan pelajar golongan B40 tidak ketinggalan dalam kaedah pembelajaran pada pasca pandemik ini.

Selain itu, terdapat banyak inisiatif, pakej dan skim bantuan yang ditawarkan kerajaan kepada Keluarga Malaysia bagi mewujudkan masyarakat celik teknologi.

“Agenda literasi digital mampu ditingkatkan dan menjadi kenyataan jika saya menerajui semula Kerajaan.

“Saya berharap anda semua mampu membuat penilaian yang tepat dan mengundi semula Kerajaan saya pada 19 November ini,” tambah Ismail Sabri.

Sementara itu, dalam majlis hari ini, Theta Edge Berhad telah menyumbang 150 unit komputer ke pada negeri Pahang bagi membantu komuniti khususnya di daerah Bera.

Pemberian sumbangan komputer yang telah ditempatkan di bawah program Pendigitalan Komuniti B40 telah dilengkapi dengan pemasangan Windows 10, LibreOffice, webcam dan penyediaan wifi adapterdisalurkan kepada penerima yang terdiri daripada beberapa pihak seperti melalui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, masjid dan Tabika KEMAS di daerah Bera.

Terdahulu, Theta Edge Berhad telah menyalurkan 154 unit komputer melalui Majlis Belia Negeri Pahang kepada beberapa daerah seperti Bera, Rompin, Jerantut, Pekan dan lain-lain.-MalaysiaGazette