Hishammuddin Hussein ketika lawatannya ke Sabah. Foto FB Hishammuddin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan terus memperkukuh dan meningkatkan pertahanan di Sabah dari semasa ke semasa.

Menteri Kanannya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pelbagai usaha pertahanan dipertingkatkan sejak beliau mengambilalih kementerian itu pada September tahun lalu.

Antaranya termasuk pembinaan kem Tentera Darat Malaysia (TDM) yang baharu di FELDA Lahad Datu dan pembinaan Kem 5 Briged dan Kem 19 Rejimen Askar Melayu Diraja di Kota Belud telah diluluskan.

Menurutnya, sebahagian daripada enam buah Helikopter MD530G milik Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang diperoleh awal tahun ini turut diatur gerak ke Sabah bagi memperkukuh keselamatan khususnyadi pesisir pantai Sabah.

“Kementerian turut menubuhkan Stesen Udara Kota Kinabalu (SUKK) di Pangkalan
Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Kota Kinabalu yang menempatkan dua skuadron baharu iaitu Skuadron 503 bagi meningkatkan pemantauan Zone Maritim Malaysia serta Maritime Domain Awareness (MDA) melalui tiga buah Helikopter AW139 serta Skuadron
601 yang menempatkan Unmanned Aerial System iaitu 12 unit Unmanned Aerial Vehicle (UAV) dan masing-masing empat unit UAV Launcher dan UAV Recovery.

“Empat buah Littoral Mission Ship (LMS) yang dimulakan proses perolehan semasa saya Menteri Pertahanan sebelum ini juga telah diterima dan dimanfaatkan sepenuhnya TLDM khususnya di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

“TLDM juga telah memohon perolehan LMS batch kedua yang dilengkapi persenjataan lebih menyeluruh yang mana kementerian sudah membuat permohonan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri untuk melaksanakan perolehan ini.

Selain pembinaan Jeti MAWILLA 2, Sandakan juga sudah diluluskan dan proses kerja juga telah dimulakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini sempena lawatannya selama dua hari ke Sabah.

Hishammuddin menambah, semua projek tersebut hanya sebahagian daripada pelbagai lagi bentuk inisiatif serta usaha yang telah dan akan digerakkan ATM di bawah pakej keselamatan Sabah.

Ia termasuk dalam konteks pertahanan sempadan dan perairan, hubungan diplomasi serta aturgerak aset pelbagai jenis melibatkan TDM, TLDM dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Jelasnya, semua usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sebaik mungkin jika tiada  kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Pertahanan dengan Kerajaan Negeri Sabah selama ini.

“Perkara ini dibuktikan lagi bilamana lawatan saya ke kem-kem ATM semalam dan hari ini turut dimaknai dengan kehadiran ramai kepimpinan Kerajaan Negeri Sabah termasuk para Menteri serta Timbalan Menteri Negeri.

“Inilah cerminan keselamatan Sabah sentiasa menjadi agenda bersama di peringkat Persekutuan dan Negeri.

“Di pihak MINDEF, saya memberi jaminan bahawa kerjasama yang sedia erat ini akan terus ditingkatkan ke tahap lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast