Mangsa (kiri) ditendang ala kungfu oleh rakan sekolahnya kerana tidak jumpa guru disiplin selepas ponteng sekolah bersama dalam kejadian pada Rabu lalu di ladang kelapa sawit Banting. Ihsan IPD Kuala Langat.

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan satu dibelasah dua rakannya kerana tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang tidak berjumpa dengan guru disiplin selepas ponteng sekolah.

Mangsa dipukul dan tendang oleh rakan-rakannya di ladang kelapa sawit di Banting, Kuala Langat, Rabu lepas.

Kejadian itu dikesan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat selepas rakaman video kejadian terbabit yang berdurasi 55 saat telah dimuat naik di media sosial Facebook.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, polis membuka siasatan selepas menerima laporan malam tadi daripada ibu mangsa.

Wanita berusia 40 tahun itu mengadu anak lelakinya telah dibuli tiga pelajar lelaki semasa berada di sekitar kawasan Banting.

“Siasatan awal polis mendapati mangsa telah dipukul dan ditendang sehingga pipinya cedera pada jam 9.50 pagi, Rabu lalu.

“Punca kejadian disebabkan kumpulan pelajar itu (suspek) tidak berpuas hati dengan mangsa yang tidak hadir bertemu guru disiplin sekolah setelah mereka bersama ponteng sekolah pada 12 Oktober lalu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Susulan kejadian itu kesemua suspek pelajar berusia 13 tahun telah dipanggil untuk tampil ke IPD Kuala Langat untuk diambil keterangan.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan. – MalaysiaGazette