Proklamasi orang melayu
Khairuddin Abu Hassan

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diingatkan tidak terlalu bersikap angkuh kerana parti itu  tidak lagi sehebat pada tahun 2018 akibat sudah berpecah teruk.

Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meminta  Saifuddin tidak melupakan sejarah PKR menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana aura Tun Dr Mahathir Mohamad yang kuat serta semua parti pembangkang ketika itu bertanding di bawah logo PKR.

Tegas beliau, tanpa gabungan bekas Perdana Menteri itu dengan PKR pada tahun 2018 sudah pasti parti tersebut tidak boleh kecapi kemenangan seperti sekarang.

“Ingatlah dulu PKR ada sokongan padu dari Bersatu dan dalam masa yang sama waktu itu parti PKR agak bersatu padu sesama pemimpin-pemimpin mereka.

“Ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin pembangkang pada tahun 2018 Anwar Ibrahim masih merengkok dalam penjara.

“Malahan dari tahun 1999 sehingga tahun 2018 kepimpinan Anwar Ibrahim terbukti gagal untuk merampas tampuk kerajaan di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Khairuddin mengulas kenyataan Saifuddin yang berkata Pakatan Harapan (PH) sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa penglibatan Mahathir.

Setiausaha Agung PH itu secara sinis berkata, beliau memahami bahawa Mahathir terdesak ketika mencari kawan tetapi semasa senang mungkir janji.

Khairuddin yang Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA) Wilayah Persekutuan menambah, apa yang penting, kini semua perti pembangkang mempunyai satu matlamat untuk menjatuhkan kerajaan UMNO dan BN buat selamanya.

Beliau berkata, semua pihak harus mementingkan agenda untuk menguburkan UMNO serta BN buat selamanya kerana pemimpin-pemimpin korup UMNO tidak pernah insaf dan masih bersifat kleptokrats.

Soalnya, adakah parti pembangjang berpecah dan terus tewas atau pun harus gembleng tenaga ke arah mencapai kemenangan bagi membina semula ‘Malaysia Baharu’.

“Tepuk dada tanyalah selera!!’ Mana lebih penting buat masa ini untuk kita semua? Dalam agama Islam pun mengajar kita untuk bermaaf-maafan sesama semua pihak demi kebaikan.

“Jika semua pihak tidak boleh bersatu di bawah semangat politik sekurang-kurangnya kita boleh mencapai hasrat rersebut di bawah payung agama.

“Seandainya pembangkang berpecah sesama sendiri dan tewas pada PRU15 ini akan membawa erti kita akan kalah buat selamanya,” katanya.

Khairuddin mengingatkan, jika UMNO dan BN berpaut pada kuasa, mereka akan terus berkuasa kerana pemimpin-pemimpin korup UMNO sanggup menyalahguna kuasa demi menjaminkan mereka terus berkuasa.

Ujarnya, Mahathir tidak takut pada Pakatan Harapan (PH) tetapi meletakkan agenda kepentingan bagi membina ‘Malaysia Baharu’ di atas segalanya yang mana nasib masa depan kesejahteraan rakyat lebih penting dari mementingkan ‘ego’ kita semua.

“Pada realitinya, keseluruhan pembangkang harus balik ke meja rundingan bagi mencari formula terbaik untuk selamatkan Malaysia.

“Pada tahun 2020 kita hilang kuasa kerana perbalahan dalaman PKR sehinggakan Azmin Ali menarik keluar sepuluh orang wakil rakyat PKR dan tidak lagi sokong kerajaan PH.

“Atas dasar hilang majoriti di Dewan Rakyat Tun Dr Mahathir Mohamad tiada pilihan serta terpaksa meletakkan jawatan mengikut lunas-lunas perlembagaan persekutuan.

“Buat masa ini kita semua jangan lagi menoleh kebelakang tetapi mesti bersatu semula ke arah menjatuhkan UMNO terlebih dahulu,” katanya.

Khairuddin tanpa berselindung mengakui dari tahun 1998, beliau telah hilang keyakinan pada Anwar dan tidak sealiran dengan Presiden PKR.

Namun,  ujarnya, dalam masa yang sama, kepentingan bagi menyelamatkan bangsa serta negara harus diberikan keutamaan.

“Tolong jangan bersikap angkuh kerana semua pihak termasuk GTA mempunyai kekuatan yang tersendiri.

“Kesepakatan sesama pembangkang akan membawa berkat bagi menjaminkan kita bakal berjaya menubuhkan kerajaan di Putrajaya.

”Yang penting untuk kita semua adalah agenda menghapuskan kerajaan korup yang boleh meruntuhkan negara yang tercinta ini,” katanya.

“Tun Dr Mahathir Mohamad amat realistik, pragmatik dan ikhlas untuk meletakkan agenda kepentingan rakyat jelata dari terus dinodai oleh UMNO.

“Secara jujur saya amat menyokongi mana-mana daya-usaha murni bagi menghapuskan kerajaan kleptokrats dari terus berkuasa.

“Perpecahan sesama pembangkang bukan saja merugikan kita semua tetapi apa yang lebih penting nasib masa depan negara juga akan terus tergugat sehingga kemungkinan kita tidak mampu untuk bangun semula.

“Negara akan hancur lebur seandainya UMNO terus berkuasa,” katanya sambil mendakwa, keseluruhan rakyat Malaysia bakal merempat di tanah air sendiri jika kerajaan kleptokrasi terus berkuasa.

Beliau menegaskan semua pihak perlu mengizinkan Mahathir dan Anwar duduk semeja demi masa depan negara.

“Berunding tidak membawa erti kita harus terus buat keputusan dan bersetuju secara ‘membabi buta. Apa yang lebih penting adalah perundingan sesama kita boleh mencari satu titik persamaan ke arah menghapuskan golongan kleptokrats dari terus berkuasa.

“Buat masa ini semua pihak kena buang ‘ego’ masing-masing demi untuk selamatkan Malaysia terlebih dahulu. Masa depan kesejahteraan negara dan rakyat mesti diutamakan.

“Tidak ada masalah yang tiada boleh diselesaikan sekiranya semua bersikap ikhlas sesama kita.

“Jika kita ‘menang jadi arang dan kalah jadi abu’ atau ‘menang sorak kampung tergadai’ tidak akan membawa sebarang munafaat langsung.

“Kadang kala kita harus telan sesuatu yang pahit demi kepentingan masa depan bangsa serta negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast