Richard Branson. Foto Facebook

SINGAPURA – Singapura mengundang Sir Richard Branson untuk berdebat secara langsung menerusi televisyen mengenai pendekatan republik ini berhubung isu dadah dan hukuman mati dengan Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri K. Shanmugam.

“Penerbangan ke Singpura dan penginapan Branson akan dibayar,” menurut Kementerian Dalam Negeri (MHA) Singapura dalam satu kenyataan di laman sesawangnya sebagai respons kepada catatan blog jutawan Britain dan pengasas Virgin Group pada 10 Okt 2022.

Menurut kementerian, Branson boleh menggunakan platform ini untuk menunjukkan kepada rakyat  mana silapnya dan mengapa Singapura harus menghapuskan undang-undang yang telah memastikan penduduk negara ini selamat daripada bencana global penyalahgunaan dadah.

MHA turut mengulas dakwaan Branson mengenai rakyat Malaysia D. Nagaenthran yang mempunyai “kecacatan intelek” dan telah dikenakan hukuman mati.

“Kami telah menjelaskan beberapa kali bahawa itu tidak benar. ,” menurut MHA.

“Mahkamah Singapura mendapati Nagaenthran sedar apa yang dilakukannya dan dia tidak cacat dari segi intelek. Pakar psikiatri turut mengesahkannya di mahkamah bahawa Nagaenthran tidak cacat dari segi intelek,” menurut MHA.

Branson dalam catatannya bertajuk “World Day Against the Death Penalty: What’s the matter with Singapore?” berkata, beliau pada awal tahun ini telah menyertai komuniti peguam bela global yang cuba menghentikan pelaksanaan hukuman itu.

Rakyat Malaysia itu dijatuhi hukuman mati kerana membawa 42.72 gram heroin ke Singapura. – BERNAMA