KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghargai kerjasama jitu pengamal-pengamal media dalam membantunya menyebar maklumat dan menguatkuasa tindakan mencegah aktiviti rasuah.
Pengarah Bahagian Komunikasi Strategiknya, Kamaruddin M Ripin berkata, usaha pengamal media tempatan dalam membantu SPRM mendidik dan menyebar luas mesej serta pendedahan antirasuah melalui laporan berita yang tepat dan sahih kepada masyarakat harus dipuji dan diteruskan.
“SPRM sentiasa komited untuk terus bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk pihak media dalam aktiviti-aktiviti pencegahan rasuah secara holistik,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan pertandingan menembak SPRM bersama media di Lapang Sasar Briged Tengah PGA Cheras, hari ini.
Seramai 50 pengamal media tempatan terlibat dalam program ini.
Katanya, SPRM juga mengaturkan pelbagai program untuk memastikan mesej dan kesedaran mengenai amalan salah laku rasuah disebarkan seluas-luasnya kepada masyarakat.
Kamaruddin berkata, acara tahunan ini tergendala selama dua tahun akibat Covid-19, telah dikembalikan kali ini dengan bertujuan untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim antara SPRM dan pihak media.
“Sebelum ini, kita juga adakan Majlis Anugerah Media SPRM yang menobatkan karya-karya penulisan terbaik yang dilihat berjaya membantu SPRM dalam memerangi rasuah.
“Inisiatif-inisiatif itu akan diteruskan untuk memastikan hubungan SPRM dan Media kekal baik dan saling membantu untuk bersama-sama mengekang amalan rasuah di negara ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette