Mustapa Mohamed

KOTA BHARU – Dua calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz akan menggunakan lambang Pas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November ini.

Perkara itu disahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengakui kedua calon berkenaan iaitu Jeli dan Tanah Merah yang menang atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU14, akan beralih selera menggunakan lambang bulan.

Katanya, keputusan menggunakan logo Pas untuk di Kelantan telah diputuskan dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini, manakala negeri lain bertanding atas lambang PN.

“Tok Pa dan Ikmal juga tidak terkecuali akan bertanding atas logo Pas pada PRU kali ini.

Ikmal Hisham Abdul Aziz
Ikmal Hisham Abdul Aziz

“Kita bersetuju guna logo Pas asalkan boleh menang dan saya yakin PN akan bolot semua 14 kerusi Parlimen di Kelantan,” katanya di Kota Bharu malam tadi.

Pas sebelum ini mengumumkan akan menggunakan lambang parti itu untuk tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, memandang rakyat sudah biasa dengan logo bulan.

Mustapa, penyandang Parlimen Jeli, manakala Ikmal Hisham Parlimen Tanah Merah akan mempertahankan kerusi yang dimenangi itu kali ini dalam pertandingan empat penjuru melawan BN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA). – MalaysiaGazette