Pencemaran dipercayai berpunca daripada sisa sampah laut atau 'marine debris' yang bercampur dengan sedikit minyak di Pantai Pengkalan Balak, Alor Gajah, Melaka semalam

ALOR GAJAH – Satu kesan tumpahan minyak ditemukan sepanjang kira-kira satu kilometer di Pantai Pengkalan Balak, di sini lewat petang semalam.

Kejadian itu disedari penduduk yang turut mendapati pelbagai sisa sampah terdiri daripada ranting dan tunggul kayu sekali gus menyebabkan pengunjung tidak dapat melakukan aktiviti riadah di pantai peranginan itu.

Pengunjung, Jamal Abdul Razak, 42, berkata, kejadian disedariya sekitar jam 6.30 petang semalam selepas mendapati gigi pantai dipenuhi tumpahan minyak dan sampah sarap.

“Waktu itu saya sedang berjalan di tepi pantai dan terkejut apabila melihat pantai yang biasanya penuh dengan aktiviti mandi manda itu diselaputi sisa sampah bersama minyak sepanjang hampir satu kilometer.

“Bagaimanapun, sisa sampah itu bukanlah dari sampah domestik sebaliknya merupakan sisa semulajadi seperti ranting dan tunggul kayu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka, Rosli Mustafa ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati tumpahan minyak itu dipercayai dibawa ombak dari tengah laut dan bercampur dengan sampah-sarap dan tunggul kayu.

“Berdasarkan siasatan dan pemantauan pegawai kami semalam, pencemaran dipercayai berpunca daripada sisa sampah laut atau ‘marine debris’ yang bercampur dengan sedikit minyak.

“Bagaimanapun setakat ini, kita masih belum dapat mengesahkan punca kejadian namun insiden ini tidak serius kerana tiada tumpahan minyak dan sampah marin dikesan berlaku hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast