KUALA LUMPUR – UMNO dan Barisan Nasional (BN) diakui dalam keadaan baik untuk memenangi semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 yang akan diadakan tidak lama lagi.
Lantaran itu, UMNO mahupun BN perlu berhati-hati dalam melaksanakan strategi dan taktikalnya dalam menghadapi musuh-musuh politik.
Penganalisis politik, Dr Azmi Hassan berkata, memandangkan kedua-duanya tidak ada isu besar yang boleh dijadikan ‘bola tanggungg’ oleh pesaing-pesaingnya, UMNO dan BN perlu terus memperkukuhkan persepsi baik kepada rakyat bahawa ia dalam kedudukan terbaik untuk mengembalikan kestabilan dan kegemilangan negara.
Dalam hal ini, kata beliau, BN ada kelebihan yang tidak ada pada pembangkang kerana sudah membentangkan Bajet 2023 yang komprehensif untuk memacu semula ekonomi negara ke landasan yang betul.
Sedangkan pembangkang tidak ada bajet alternatif yang boleh dipertaruhkan untuk dinilai dan diperincikan oleh rakyat.
“Bajet 2023 bukan bajet tangkap muat, sebaliknya ia adalah bajet tersusun dengan rapi untuk menyokong ekonomi dan memulihkan poket rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
“Jika UMNO dan BN bersungguh-sungguh mempromosi Bajet 2023 dalam siri-siri kempennya, itulah kekuatan ampuh untuk mendapatkan kepercayaan rakyat kembali,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Azmi menambah, berbanding parti-parti lain, mereka tidak ada tawaran bajet kecuali terus memainkan sentimen isu-isu individu dan parti yang diolah sejak empat tahun lalu untuk memburuk-burukkan UMNO dan BN.
Hakikatnya, dalam situasi semasa yang mana ekonomi dunia semakin mencabar termasuk kemungkinan menghadapi kemelesetan ekonomi pada tahun depan, sudah pasti rakyat mahu tahu hala tuju parti-parti kepada negara.
Rakyat mahu tahu apa yang parti-parti politik mampu tawarkan kepada mereka dan negara, bukan sekadar mendapat kuasa.
”Isu individu, 1MDB yang masih dijaja sehingga kini sudah tidak ke mana, ia sudah dilaungkan sebelum dan empat tahun kebelakangan ini.
“Sekarang, kini, rakyat dahagakan politik yang stabil supaya dapat memacu negara ke tahap lebih baik berbanding tempoh yang dilalui selepas Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Rakyat, khususnya komuniti perniagaan mahu ekonomi Malaysia kembali pada keupayaannya seperti yang dinikmati sebelum PRU lalu.
“Perkara ini sangat penting memandangkan Malaysia memerlukan pelaburan-pelaburan baharu untuk mencipta peluang pekerjaan kepada rakyat, sekali gus melonjakkan ekonomi negara,” tambah Azmi lagi.
Tegasnya, jika isu kestabilan negara, pengukuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus dijulang UMNO dan BN pada kempen-kempen PRU15, parti komponen ini dalam keadaan lebih baik untuk memenangi hati rakyat. – MalaysiaGazette