Imran Khan

ISLAMABAD – Suruhanjaya pilihan raya Pakistan telah membatalkan kelayakan bekas Perdana Menteri, Imran Khan daripada memegang jawatan awam dalam kes yang disifatkan sebagai motif politik.

Suruhanjaya pilihan raya mendapati Khan secara haram menjual hadiah negara dan menyembunyikan aset sebagai perdana menteri, sekali gus melucutkan kelayakannya di bawah undang-undang Pakistan daripada memegang jawatan awam selama lima tahun dan kehilangan kerusinya di Parlimen secara automatik.

Khan kemudiannya mengumpulkan penyokong untuk menentang kerajaan baharu diterajui Perdana Menteri, Shahbaz Sharif dan mengatakan bahawa hak asasi dan demokrasi telah terkubur di Pakistan.

Susulan itu, berlaku tunjuk perasaan dan pertempuran dengan polis di luar ibu kota Islamabad, mengakibatkan polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata.

Tidak lama selepas itu, Khan meminta penunjuk perasaan untuk menamatkan protes mereka dan menunggu panggilan daripadanya.

Jurucakap Khan, Fawad Chaudry, berkata mereka akan mencabar keputusan suruhanjaya itu di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan perbicaraan segera.

Sementara itu, peguam Khan, Ali Zafar, berkata beliau berharap mahkamah membatalkan keputusan suruhanjaya pilihanraya di mana ia susulan petisyen daripada kerajaan campuran Sharif yang meminta tindakan terhadap Khan kerana didakwa menjual hadiah negara secara tidak sah.

Di Pakistan, pegawai kerajaan mesti mengisytiharkan semua hadiah, tetapi dibenarkan menyimpannya di bawah nilai tertentu. Dalam sesetengah kes, penerima boleh membelinya semula pada kira-kira 50 peratus.

Khan mengakui bulan lalu telah menjual sekurang-kurangnya empat hadiah yang diterimanya semasa menjadi perdana menteri, dan ia telah dimasukkan ke dalam penyata cukai pendapatannya.

Untuk rekod, Khan dipilih sebagai perdana menteri pada 2018, namun digulingkan pada April tahun ini melalui undi tidak percaya di Parlimen dan kehilangan kerusinya. – Agensi