Antara peminjam membuat bayaran PTPTN di Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 DISEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berharap inisiatif yang dibentangkan dalam Bajet 2023 baru-baru berkaitan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan diteruskan.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad yakin ia akan dapat menyuntik semangat para pelajar untuk mendapat kelulusan yang cemerlang dalam pengajian.

“Kementerian yakin, inisiatif ini dapat menjadi penyuntik semangat dan dorongan kepada semua pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mendapat kelulusan yang terbaik
dalam pengajian,” katanya menerusi kenyataan.

Bajet 2023 yang dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini menyentuh inisiatif untuk peminjam PTPTN dan pendeposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Antaranya pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama; kenaikan kadar 100 peratus pinjaman PTPTN dan penyediaan pinjaman komputer untuk kumpulan M40; pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga 2024.

“Bagi pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN, permohonan telah dibuka sejak 15 September hingga 31 Disember 2022 kepada semua peminjam yang bergraduat bermula tahun 2019 yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama tanpa
mengira status ekonomi, bangsa dan agama,” jelas Noraini.

Selain daripada itu, turut dibentangkan insentif diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 1 November 2022 hingga 30 April 2023.

Diskaun tersebut meliputi diskaun 20 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman; diskaun 15 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 15 peratus untuk bayaran balik melalui potongan gaji atau debit terus mengikut jadual. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast