KAJANG – Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dilanggar pemandu mabuk ketika mangsa melintas di Jalan Banting – Kajang (Jalan Reko), semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian lebih kurang jam 8.15 malam tadi.

Menurutnya, dalam kejadian ini pemandu kereta dari Kajang Sentral menuju pulang ke rumah di Taman Sri Langat, Kajang.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu kereta terbabit  melanggar dua orang pejalan kaki perempuan yang sedang melintas kemudian melanggar dua buah kereta jenis MPV dan 4×4 yang diletakkan di hadapan sebuah restoran,” katanya.

Beliau berkata, pemandu kereta terbabit dibawa ke Pejabat Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk menjalani ujian saringan awal kandungan alkohol.

“Hasil ujian yang dijalankan terhadap pemandu adalah positif di bawah pengaruh alkohol.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar bagaimana kemalangan berlaku, sama ada terdapat unsur lain,” ujarnya.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi mana-mana balai polis berdekatan daerah Kajang atau menghubungi terus pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Mohd Feaisal Mokhtar di talian 012-9454655 bagi membantu siasatan,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast